84: NIKMAT LAHIR DAN BATIN


APABILA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU REZEKI BERUPA RASA PUAS DENGAN TAAT (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN RASA CUKUP (DENGAN-NYA), MAKA KETAHUILAH TELAH DISEMPURNAKAN ATAS KAMU NIKMAT-NIKMAT YANG LAHIR DAN YANG BATIN.

Dua jenis rezeki yang dinyatakan oleh Hikmat 84 di atas adalah Islam dan Iman. Hamba Allah s.w.t yang memperolehi kedua-dua rezeki tersebut menjadi insan yang beriman dan beramal salih. Tidak ada amal salih tanpa iman dan tidak ada kenyataan iman tanpa amal salih. Ayat-ayat al-Quran sering menggandingkan iman dan amal salih sebagai satu, tidak diceraikan. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak beramal menurut apa yang diimaninya adalah dianggap sebagai orang yang berbohong, sementara orang yang melakukan amal sedangkan hatinya tidak beriman adalah munafik. Kesempurnaan seorang insan terletak pada gandingan kedua-duanya, iaitu iman dan amal salih.

Islam bererti tunduk patuh kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Orang Islam adalah orang yang bertaklid melulu kepada Allah s.w.t. Segala fikiran dan kehendak menjurus sepenuhnya kepada apa yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t, yang dibawa oleh Rasul-Nya. Akal, perasaan dan perbuatan tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t. Ketaatan kepada Allah s.w.t mencakupi lahir dan batin. Perbuatan lahir sesuai dengan tuntutan syariat dan perbuatan batin pula mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah s.w.t. Memelihara sempadan yang ditentukan oleh Allah s.w.t secara lahir dan batin menghasilkan takwa. Semulia-mulia hamba di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertakwa. Takwa tidak diperolehi tanpa amalan Islam. Islam sudah cukup lengkap. Segala perintah yang meliputi suruhan dan tegahan sudah pun dibentangkan di hadapan mata. Tidak usah menunggu perintah yang lain lagi.

Jika Islam melahirkan amal salih, iman pula melahirkan penyaksian mata hati (musyahadah) terhadap ketuhanan Allah s.w.t pada setiap pandangan kepada segala perkara. Allah s.w.t berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya… (Ayat 136 : Surah an-Nisaa’) Ayat di atas ditujukan kepada orang yang sudah beriman. Mereka sudah pun beriman tetapi masih digesa supaya beriman. Iman pada tahap permulaan berdasarkan dalil-dalil dan pembuktian. Kemudian mereka diajak pula kepada iman dengan penyaksian mata hati, menyaksikan Rububiyah yang tidak pernah berpisah daripada ubudiyah. Tanpa penyaksian terhadap Rububiyah segala amal tidak berguna kerana orang yang beramal menisbahkan amal itu kepada dirinya sendiri, sedangkan tiada yang melakukan sesuatu melainkan dengan izin Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya, dengan Haula dan Kuwwata-Nya. Himpunan amal sebesar gunung tidak dapat menandingi iman yang sebesar zarah. Orang yang beriman dan menyaksikan Rububiyah pada segala perkara dan semua amal itulah orang yang memperolehi nikmat yang sempurna lahir dan batin, kerana hubungannya dengan Allah s.w.t tidak pernah putus. Orang inilah yang berasa puas dengan berbuat taat kepada Allah s.w.t dan berasa cukup dengan-Nya, kerana tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t dan tidak berlaku sesuatu perkara melainkan menurut ketentuan-Nya. Apa lagi yang patut dibuat oleh seorang hamba melainkan taat kepada-Nya dan menerima keputusan-Nya.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s




%d blogger menyukai ini: