50: KESAN DARIPADA BUTA MATA HATI


KEAJAIBAN YANG SANGAT AJAIB ADALAH ORANG YANG LARI DARI SESUATU YANG TIDAK MUNGKIN DIA MELEPASKAN DIRI DARIPADA-NYA DAN DICARINYA SESUATU YANG TIDAK MUNGKIN SENTIASA MENEMANINYA. SESUNGGUHNYA BUKAN BUTA MATA YANG DI KEPALA TETAPI, BUTA MATA YANG DALAM HATI.Hikmat 45 menceritakan tentang tingkatan makrifat yang dicapai melalui penyaksian mata hati. Makrifat melalui mata hati diperolehi dengan cara bertauhid. Hikmat 46 menggambarkan tentang tauhid yang tertinggi. Tingkatan yang tertinggi itu tidak mudah dicapai. Jalan untuk mencapainya adalah dengan menghapuskan semua jenis syirik, yang kasar dan yang halus. Hikmat 47 hingga 49 menceritakan tentang syirik yang halus-halus, iaitu hati bukan setakat bergantung kepada Allah s.w.t sahaja tetapi pada masa yang sama ia juga berharap kepada makhluk, lantaran kurang keyakinannya kepada Allah s.w.t, atau kerana menyangkakan makhluk boleh melakukan sesuatu yang memberi bekas kepada perjalanan takdir Ilahi. Syirik yang demikian dirumuskan oleh Hikmat 50 ini dengan mengatakan bahawa ia terjadi akibat buta mata hati. Sekiranya mata hati dapat melihat tentu dilihatnya bahawa dalam apa juga keadaan dia tidak terlepas dari Iradat dan Kudrat Allah s.w.t. Dia tidak akan dapat melepaskan dirinya dari Allah s.w.t. Allah s.w.t mempunyai segala sifat-sifat iftiqar yang menyebabkan sekalian makhluk-Nya tidak ada jalan melainkan bergantung kepada-Nya. Apabila Allah s.w.t menciptakan makhluk maka dihukumkan makhluk itu berkehendak kepada-Nya, hanya Dia yang kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa pun. Para hamba yang insaf tunduk kepada hukum Allah s.w.t, lalu mereka meletakkan pergantungan kepada-Nya semata-mata. Mereka tahu bahawa mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri daripada Allah s.w.t dan ketentuan-Nya. Mereka juga tahu bahawa mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri dari sesuatu yang Allah s.w.t letakkan ke atas mereka. Apabila Allah s.w.t meletakkan beban ke atas hamba-Nya maka hanya Dia sahaja yang mampu mengangkat beban itu daripadanya. Hamba dari golongan inilah yang celik mata hati, sedangkan mereka yang buta mata hati masih melihat makhluk sebagai sumber yang mendatangkan kesan. Mereka meminta pertolongan sesama makhluk. Mereka berharap makhluk akan melepaskan mereka daripada beban yang sedang mereka pikul. Mereka lupa bahawa makhluk yang kelihatan seolah-olah berkuasa memberi kesan itu hanyalah lalu-lalang di hadapan mereka, tidak ada yang menemaninya. Makhluk hanya ejen yang singgah untuk menyampaikan apa yang Allah s.w.t tentukan. Setelah tugas mereka selesai maka berlalulah mereka dari situ. Berteman dengan sesuatu yang datang seketika kemudian menghilang merupakan keputusan yang tidak benar. Lebih baik bertemankan sahabat sejati yang tidak pernah berpisah walau satu detik pun, tidak disentuh oleh mengantuk dan kelalaian dan tidak sekali-kali menghampakan sesiapa yang bersahabat dengan-Nya.

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.( Ayat 40 : Surah at-Taubah )

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s




%d blogger menyukai ini: